
Tajuk : SABAR : Bukti Hidup Bertuhan
Oleh : Nurulhusna Ahmad Sani
Sumber : -
Andai manusia hidup tanpa sabar, tidak tahu makna sabar, tidak belajar bersabar, bagaimana dunia ini hendak ditadbir? Mungkin manusia tidak akan dilantik menjadi khalifah, kerana tanpa sabar, manusia hilang potensi sebagai pemimpin. Ya, dengan sabar manusia menjadi pemimpin. Pemimpin kepada sebuah negeri diri dan negara dunia.
Sabar merupakan sifat yang tidak kita sedari, kerana kita sudah terbiasa untuk menahan diri dari marah yang berlebihan, sedih berpanjangan dan mengeluh terhadap kesusahan. Maka, sabar menjadi tabiat yang terbina secara semulajadi. Namun, membina sabar yang sebenar-benarnya tidak hanya dengan pengalaman hidup. Sabar memerlukan proses yang berterusan kerana pengalaman hidup pada masa akan datang bukan sesuatu yang mudah dijangka. Setiap manusia mempunyai kisah hidup dan ujian yang berbeza maka setiap ujian itu juga tidak semuanya menggunakan sabar yang di bawah sedar itu.
Hakikat Sebenar Sabar
Sabar sebenarnya satu sikap yang diajar merentas sempadan agama. Agama Islam, Kristian, Buddha dan beberapa agama monotism yang lain sangat menekankan konsep sabar kerana ia terlalu penting dalam mengurus sebuah kehidupan. Ia sering dikaitkan dengan kewujudan pembalasan dan ganjaran. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sabar merupakan jalan penyelesaian terbaik dan terunggul kepada segala masalah kehidupan.
Selari dengan hadis Rasulullah s.a.w., sabar dalam Islam mempunyai komponen-komponen yang merangkumi hati, lidah dan tindakan sepertimana iman yang memberi makna menahan diri dari setiap sudut komponen tersebut. Tanpa keimanan, manusia tidak mampu mencapai sabar yang hakiki kerana sabar adalah sikap yang bersifat ketuhanan atau rabbani iaitu sedar bahawa Allah itu Maha Penentu segala yang terbaik buatnya. Maka dia perlu bersabar dengan menyedari wujudnya Allah dengan segala sifat Rabb-Nya yang agung mengalahkan segala sifat hamba-Nya yang lemah dan tidak harus bertindak sesuka hati menyalahi apa yang dikehendaki-Nya.
Berbeza dengan menyerah diri secara total, sabar membawa pemiliknya untuk faham, rasional dan bertindak bijak sekaligus menahan diri secara optimis sebagai respon terhadap situasi hidup. Ketiga-tiga respon ini sebenarnya memerlukan ilmu dan penggunaan akal yang dipimpin dengan keimanan. Dengan ilmu, iman bertambah mantap bahkan mengeluarkan seseorang manusia itu dari tipu daya dunia kepada jelasnya matlamat hanya kerana Allah. Lantas, manusia yang terhasil adalah golongan manusia yang bijak dan kuat. Inilah manusia yang diinginkan dunia hari ini untuk mempimpin manusia kepada ketenangan dan keharmonian yang sebenar.
Optimumkan Hidup dengan Sabar
Sabar secara praktikalnya begitu perlu dalam kehidupan. Sabar berputik sejak kecil lagi ketika kita baru hendak belajar berjalan dan bercakap. Sabar ini yang membuatkan kita dapat menahan segala perit sakit dan jatuh bangun ketika proses pembelajaran sehinggakan kita berjaya melakar peningkatan diri setelah beberapa bulan latihan. Malah sabar dituntut dalam setiap peringkat kehidupan kita untuk memastikan umur kita dapat digunakan secara optimum.
Kerana itu perlunya sabar ketika menghadiri kuliah dan menjawab peperiksaan untuk mendapat segulung ijazah. Perlunya sabar dengan menahan diri dari menjalin hubungan yang tidak halal sebelum perkahwinan untuk mengelakkan segala masalah sosial dan jiwa. Perlunya sabar ketika hidup berumahtangga supaya kehancurannya dapat dibendung. Perlunya sabar ketika bekerja samada menjadi ketua kepada sebuah organisasi ataupun hanya sekadar pekerja bawahan sahaja agar sebuah institusi kekal bergerak secara harmonis.
Sabar dalam setiap aspek kehidupan membuatkan kita lebih terarah dan teratur mengikut panduan Ilahi sekaligus potensi diri kita berada di tahap yang tertinggi pada setiap masa (optimum).
Bukankah dengan sabar petunjuk dan hidayah Allah itu sentiasa bersama?
Tidakkah Allah telah berjanji bahawa Dia akan sentiasa bersama-sama dengan mereka yang sabar?
Tidakkah sabar itu salah satu usaha untuk mencapai redhaNya?
Masihkah kita mempertikaikan ganjaran-Nya kepada orang-orang yang sabar seperti yang tertera di dalam surah Al-Baqarah ayat 156?
Jika seseorang hamba itu menyedari semua hakikat ini, maka akan terhasillah seorang manusia ajaib yang sabar ketika ditimpa apa sahaja musibah dan bersyukur ketika dikurniakan segala ganjaran dunia.
Menukar Sikap, Menukar Perasaan
Sejarah sudahpun merakamkan contoh-contoh mereka yang sabar dan menunjukkan bahawa sabar bukan hanya sekadar retorik dan teori yang tertulis di dalam kitab-kitab hasil pemikiran para cendikiawan semata-mata. Sabar adalah seruan rabbani serta natijah sebuah keimanan dan iman adalah hasil dari jiwa yang diproses di kilang rabbani atau ketuhanan. Jika diteliti semula, sabar yang merupakan sebahagian daripada iman telah menjadi satu sikap atau tabiat yang dipunyai oleh orang mukmin untuk menukar perasaan-perasaannya yang biasa kepada yang luar biasa. Dari sedih dengan musibah kepada redha dengan ketentuanNya dan dari cenderung untuk berbuat maksiat kepada takutnya pada Allah untuk melaksanakannya.
Lihat sahaja, sabarnya Rasulullah S.A.W. berhadapan dengan pemulauan Bani Quraisy demi mempertahankan Islam yang dibawa.
Lihat sahaja, sabarnya Rasulullah menahan diri apabila dipelawa harta, wanita dan takhta sedangkan itu yang diinginkan manusia biasa di zaman baginda.
Ya, semua itu kerana baginda menyakini hanya dengan sabar barulah Allah akan menjanjikan kesenangan dan kemenangan di masa hadapan. Bahkan sabarnya Rasulullah kerana menyakini Allahlah tempat kembali, tempat dipersembahkan segala amal di dunia hingga kita turut merasai nikmat beriman dengan Rabb yang hakiki.
Kembalilah kepada sejarah, belajarlah daripada Rasulullah bagaimana baginda membina satu bangsa bermaruah sedangkan awalnya penuh jahiliyah. Jika Rasulullah gopoh dan tidak sabar, tiadalah Islam hingga ke hari ini.
Oleh itu, mantapkan iman, tingkatkan ilmu. Ulangi semula sejarah kesabaran kerana dengan sabar, syurga itu tidak menjadi mustahil!
Wallahu’alam.
Rujukan :
Al-Quranul Kareem
Hadis Riwayat Muslim
10 Nasihat Ibn Qayyim agar sabar menjauhi maksiat
Nurulhusna Ahmad Sani
Tahun 4, Tanta Universiti,
Baling, Kedah.
24 Julai 2010 – 12.52 pg
Google Eat This:
- bersabar dengan sikap manusia
- belajar hidup yang sabar
- sabar yang sebenarnya
- sabar yang sebenar
- nikmat bertuhan membawa keimanan kepada allah