Haid Ketika Umrah, Jemaah Wanita Tak Senang Duduk
Kefahaman ilmu mengenai sesuatu perkara cukup penting untuk dipelajari sebelum seseorang itu melakukan apa-apa juga pekerjaan. Samalah juga halnya dalam urusan mengerjakan ibadah umrah. Penting bagi seseorang untuk mempelajari ilmu berkaitannya malah merujuk sebarang kemusykilan yang terjadi kepada individu yang arif.
Kisah perjalanan umrah kali ini ada kaitannya dengan permasalahan di atas. Dalam tempoh pemergian umrah, terdapat sekumpulan jemaah umrah yang terdiri daripada lapan orang ahli keluarga kesemuanya. Lima daripada lapan orang jemaah itu terdiri daripada wanita. Sepanjang menunaikan ibadah umrah itu, kumpulan wanita ini telah berhadapan dengan pelbagai masalah.
Satu persatu permasalahan yang terpaksa dihadapi dengan kecetekan ilmu yang ada. Sebelum terbang ke Madinah, seorang daripada lima orang wanita ini menyedari bahawa pemergiannya ke tanah suci kelak ketika dirinya akan datang bulan.
Tapi dia mengambil mudah perihal tersebut memandangkan perasaan teruja untuk menjejakkan kaki ke Makkah tambah pula segala persediaan telah pun dibuat. Dia tidak menyedari bahawa akan timbul kesulitan tentang perkara ini. Pemergian kumpulan jemaah yang terdiri daripada ahli keluarga ini dalam tempoh yang terhad iaitu selama lapan hari.
Antara, syarat sah umrah adalah berniat. Ketika berniat pastilah wanita itu perlu berada dalam ihram dan apabila sampai di Makkah, dia perlu berniat umrah serta ihram kemudian wajib melakukan tawaf dalam tempoh umrah yang dijadualkan. Namun jika dalam keadaan haid sudah tentu wanita itu tidak boleh melakukan rukun ini.
Apabila seseorang jemaah itu gagal untuk melakukan rukun tawaf mahupun saie maka, ibadah umrahnya tidak sah dan matlamat yang diinginkan tidak akan tercapai. Walau bagaimanapun, Islam itu sendiri tidak sesekali akan membuatkan umatnya berada dalam keadaan yang sukar. Sesungguhnya dalam melakukan ibadah kepada Yang Maha Esa ada kesenangannya.
Niat Bersyarat
Begitulah halnya yang terjadi kepada seorang wanita bernama Jamilah. Sewaktu berada di Madinah, dia berada dalam keadaan suci dan boleh melakukan ibadah solat seperti biasa.
Entah macam mana, pada hari terakhir berada di Madinah, Jamilah mula berasa sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Hatinya mulai bimbang, kalau-kalau dirinya didatangi haid.
Kerisauan yang bermain-main di fikirannya itu akhirnya menjadi kenyataan, apabila dirinya ditakdirkan oleh Allah mengalami haid. Semakin risaulah Jamilah apabila memikirkan masalah yang bakal dihadapinya kelak.
Walhal dirinya yang berada di Madinah lebih awal dan perlu berniat ihram di Bir Ali iaitu miqat bagi penduduk-penduduk Madinah dan kawasan yang sama dengannya. Mengenangkan keadaannya yang uzur itu, segera Jamilah bertanyakan kepada salah seorang ustaz mengenai masalahnya itu.
Ustaz yang berasal dari Malaysia itu telah menerangkan supaya Jamilah melakukan niat bersyarat. Mendengar sahaja jawapan ustaz itu, Jamilah bersetuju untuk melakukannya.
Tapi entah macam mana, ketika ahli kumpulan jemaahnya sibuk hendak berangkat ke Makkah, Jamilah telah mendekati seorang mutawif yang bernama Ustaz Zahran. Ustaz itulah yang bakal mengetuai kumpulannya kelak. Sekali lagi Jamilah bertanyakan tentang masalahnya kepada ustaz berkenaan.
Satu persatu diterangkan kisah yang terjadi ke atas dirinya. Setelah selesai bercerita, ustaz berkenaan telah memaklumkan dirinya boleh tidak melakukan niat bersyarat. Hakikatnya, jawapan Ustaz Zahran boleh diragui kerana dirinya merupakan seorang mutawif dari Indonesia yang tidak faham dengan keputusan yang telah ditetapkan secara muzakarah untuk setiap permasalahan yang berlaku kepada jemaah haji Malaysia. Yang mana jika berlaku keadaan seperti Jamilah itu, dirinya wajib melakukan niat bersyarat.
Ahli keluarga Jamilah menasihati agar Jamilah mendengar penerangan ustaz dari Malaysia berbanding jawapan yang diberikan oleh Ustaz Zahran tadi. Tapi bagi Jamilah, jawapan Ustaz Zahran lebih dipercayai.
Akhirnya, Jamilah telah berniat seperti biasa. Sedangkan apa yang dilakukannya itu akan menyebabkan dirinya berhadapan dengan satu permasalahan yang lebih besar. Sesungguhnya Jamilah tidak sedar bahawa Ustaz Zahran itu bukanlah bertauliah malah keputusannya itu langsung tidak merujuk kepada keputusan ahli muzakarah dari Malaysia.
Sebaik sahaja sampai di Makkah Jamilah langsung tidak dapat meneruskan urusan ibadahnya memandangkan dirinya berada dalam keadaan uzur. Tapi sepanjang melalui tempoh itu, Jamilah tidak senang duduk. Mengapa Jamilah bimbangkan keadaannya yang uzur itu?
Salah Rujuk Ustaz Jemaah Wanita Tanggung Akibat
Sebaik sahaja sampai di tanah suci Makkah, kumpulan jemaah yang bersama-sama Jamilah telah mengerjakan rukun tawaf. Memandangkan Jamilah masih dalam keadaan haid jadi hanya berdiamkan diri di dalam bilik hotel.
Begitu juga dengan rukun ibadah yang lain terpaksa ditangguhkan sehinggalah dirinya benar-benar suci. Itulah yang dimaklumkan oleh ustaz Wahid iaitu mutawif yang mengetuai kumpulan jemaahnya ketika di tanah suci Makkah.
Menanti diri benar-benar bersih bermakna Jamilah perlu menunggu sekitar lapan hari sebelum dia boleh bersuci. Tapi dia resah apabila memikirkan dam yang akan dikenakan apabila dirinya mandi hadas kelak.
Pastinya semasa mandi rambutnya akan gugur dan dia wajib membayar dam. Hatinya meronta-ronta setiap kali memikirkan masalah ini. Semakin lama dia menghitung hari semakin risau pula hatinya. Tambahan pula tempoh dia berada di Makkah
tidaklah lama. Jamilah muka merasakan betapa sukarnya Allah meletakkan ujian buat dirinya.
Tidak Buat Niat Bersyarat
Memasuki hari yang kelima, Jamilah tidak dapat bertahan lagi. Lantaran itulah dia menghubungi syarikat pengurusan umrahnya yang berada di Malaysia. Dia bertanyakan tentang masalah dirinya. Selepas bercerita, ustaz yang menjawab panggilannya bertanya mengapa dirinya tidak melakukan niat bersyarat? Jamilah akhirnya terpaksa menjelaskan tentang sumber rujukannya sebelum ini.
Ternyata dirinya telah membuat salah rujukan. Hal ini kerana, niat bersyarat akan memudahkan dirinya. Niat ihram bersyarat diharuskan bagi seseorang yang bimbang berlaku perkara yang menghalang dirinya daripada menyelesaikan pekerjaan umrahnya. Niat ini hendaklah dilakukan secara muwalat (secara berturutan) antara niat ihramnya dengan niat bersyarat. Sekiranya jemaah yang melakukan niat bersyarat ini terhalang daripada menyelesaikan pekerjaan umrah maka dengan sendirinya ia akan menjadi halal iaitu terlepas dari ihramnya.
Dalam kes Jamilah pastilah sukar untuk dirinya memandangkan dia telah memasuki tanah haram itu tanpa niat ihram bersyarat. Ustaz di Malaysia pula memaklumkan dirinya tidak layak menjaga ihramnya maka Jamilah perlu menyembelih seekor kambing barulah dirinya boleh melakukan rukun menggunting rambut.
Penerangan ustaz berkenaan bersesuaian dengan saranan oleh Allah melalui firmannya di dalam ayat suci al-Quran, surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud :
“Dan sempurnakanlah ibadah Haji dan Umrah kerana Allah, maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahalul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kami mencukur kepada kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah, iaitu berpuasa atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadah Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dan yang mudah di dapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dan), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetar (di sekitar ) masjid Al-Haraan (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).”
Sembelih Kambing
Mahu tak mahu, Jamilah terpaksa akur menyembelih seekor kambing yang mana harga seekor mencecah sampai 450 riyal. Pastinya harga binatang sembelihan itu berat buat Jamilah.
Akhirnya selepas menyembelih kambing, Jamilah bergunting rambut. Ketika itulah dia terfikir mengapalah sukar benar untuk mengerjakan umrah. Apabila berpeluang berjumpa mutawif, Jamilah mengajukan pertanyaan mengapa suruhan agama itu jadi payah.
Mutawif menjelaskan ia sebenarnya tidak sukar jika kita mempunyai ilmu tentangnya. Oleh itu adalah penting untuk jemaah berguru dengan orang yang benar-benar alim bukannya guru yang buat-buat alim.
Di Makkah memang ramai anak muda Indonesia yang makan gaji dan membantu para jemaah, tapi mereka bukannya ahli agama dan tidak tahu kaedah umrah dan haji buat jemaah negara ini. Seharusnya juga, sebelum membuat keputusan untuk mengerjakan umrah, pilihlah syarikat atau agensi yang benar-benar ulung dan tepat pada waktunya.
Bakal jemaah perlu tahu bilakah waktu haid mereka, jadi bolehlah mereka menangguhkan pemergian umrahnya agar tidak timbul kesusahan sewaktu berada di tanah suci Makkah. Penting buat jemaah untuk mengukur masa yang sesuai untuk dirinya mengerjakan umrah.
Sumber : Mingguan Wanita
Google Eat This:
- cara mengerjakan umrah bagi wanita
- panduan umrah
- cara mengerjakan umrah
- panduan umrah wanita
- haid ketika umrah
